Kelestarian amalan hijau Malaysia, Indonesia

oleh Dr Fachruddin Majeri Mangunjaya

Dari Berita Harian Malaysia, Jumaat 1 Februari 2019

KEROSAKAN akibat aktiviti pembalakan haram berleluasa atau segala bentuk aktiviti tidak sihat, merencatkan keseimbangan ekosistem dan mengundang bencana tidak diingini. – Foto Hiasan

MALAYSIA dan Indonesia selaku dua negara serumpun, mempunyai banyak persamaan dari segi bahasa atau budaya, dengan majoriti penduduk Islam jika digabungkan populasinya adalah yang terbesar di dunia.

Isu dan permasalahan kerosakan alam sekitar menjadi kebimbangan umat Islam Indonesia dan Malaysia. Kerosakan akibat aktiviti pembalakan haram berleluasa atau segala bentuk aktiviti tidak sihat, merencatkan keseimbangan ekosistem dan mengundang bencana tidak diingini.

Contohnya, kejadian banjir dan tanah runtuh di Terengganu dan Pahang sejak beberapa tahun lalu. Di Indonesia, banjir melanda Ciwidey, Bandung pada 2016 dan di Mandailing Natal di Sumatera Utara pada pertengahan 2018.

Bencana berlaku di kedua-dua negara mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Pastinya majoriti mangsa umat Islam.

Sebagai umat Islam, kita beranggapan pasti mereka bersikap sebagai ‘rahmatan lil’alamin’. Ertinya, kewujudan Islam dan umat Islam itu sendiri wajar menjadi rahmat kepada seluruh alam, termasuk dalam aspek pemeliharaan alam sekitar.

Dua perkara penting perlu ditangani mengenai isu alam sekitar. Pertamanya, ancaman kepupusan kepelbagaian biologi dan ekosistem semulajadi disebabkan aktiviti manusia.

Kepupusan jejas ekosistem

Laporan Tabung Alam Sedunia (WWF) 2018 menunjukkan dalam tempoh 40 kebelakangan ini, hampir 60 peratus haiwan vertebrata seperti burung, primat dan mamalia lain kepupusan.

Kewujudan kepelbagaian hidupan saling berkait antara satu sama lain. Kepupusan sebahagian daripadanya menyebabkan kemusnahan ekosistem. Ia seterusnya menyebabkan ketahanan semula jadi rendah dan bencana alam mudah berlaku.

Burung dan primat penting sebagai ejen penyebaran biji benih yang menumbuhkan pelbagai pokok untuk kepentingan manusia. Kepupusan burung pemangsa kepada serangga dan hama, termasuk ulat penebuk batang contohnya mengakibatkan kematian pokok pala (Myristica fragrans) seperti berlaku di Acheh.

Isu kedua perlu ditangani ialah tahap kesedaran rendah dalam melaksanakan amanah selaku makhluk di muka bumi.

Umat Islam diberikan petunjuk Al-Quran sebagai panduan dalam melaksanakan cara hidup dengan baik. Contohnya, kita diminta sentiasa berhemat, tidak boros serta melakukan kerosakan, selain diperintahkan menjaga bumi selepas Allah SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.

Sumber alam di atas muka bumi terhad dan boleh kehabisan atau rosak jika tidak digunakan dengan bijak. Jadi pengaplikasian amalan hijau di kedua-dua negara penting kepada masa depan umat Islam dan seluruh makhluk.

Ulama promosi amalan hijau

Lebih molek jika ulama dapat memberikan pandangan dan maklum balas terhadap krisis alam sekitar dengan selalu mengadakan sesi dialog bersama pakar pemuliharaan alam sekitar.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) ada mengeluarkan fatwa No. 4, 2014 tentang Perlindungan Hidupan Liar Untuk Keseimbangan Ekosistem.

Ia sebahagian jalan penyelesaian dan panduan umat Islam dalam melindungi hidupan liar di ambang kepupusan seperti harimau, badak, gajah, orang utan dan sebagainya yang masih berbaki di Malaysia dan Indonesia.

Mufti Negeri Terengganu turut mengeluarkan fatwa larangan memburu hidupan liar pada 2015. Larangan itu penting khususnya kepada harimau yang lingkungan habitatnya menjangkau 100 kilometer. Melindungi habitat mereka bermakna memberikan juga kehidupan kepada makhluk Allah SWT lain, yang sama-sama menghuni alam ini.

Usaha ulama di Malaysia dan Indonesia melindungi alam sekitar boleh dijadikan model bagi negara Muslim lain. Banyak sumber pengajaran dan buku diterbitkan institusi pemikir seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang sewajarnya mendapat sokongan daripada semua pihak.

Semangat mempromosikan agama dalam membuat penambahbaikan terhadap alam sekitar, dianggap titik tolak memastikan pembangunan tamadun lebih baik pada masa hadapan.

Penulis adalah Felo Pelawat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Pensyarah Universiti Nasional Indonesia